Search This Blog

Wednesday, December 22, 2010

Nama Seindah Bahasa..Bahasa Bayangan Jiwa..


Saya terdengar orang memanggil-manggil

“Jambu,petang ni main bola tak?Aku dah set futsal malam ni pukul 11.”

“Jom kita pergi shopping nak,Sally?

“Cekodok,pen drive yang lu pinjam bila nak pulangkan?”

“Mat sumbak! Tak pergi kelas ke?”

Bermacam-macam lagi panggilan yang jauh berbeza dengan nama sebenar.Kadang-kadang nama ‘manja’ ini dipanggil apabila berlaku sesuatu peristiwa atau kejadian walaupun nama tersebut tiada kena mengena langsung dengan nama yang diberi oleh ayah dan ibu.





Ada Apa Dengan Nama?

Saya cuba meluaskan skop pemikiran.

Nama seindah tuan empunya diri seperti Aizat, Hisham, Zulfikar, Hakimi, Shazliani, Salihah, Izzati mahupun Haryati seringkali ‘bertukar’ identiti dengan nama Apek,Bulat,Kambing,Teletubbies,Sussie,Mok-Mok dan bermacam-macam lagi nama pelik yang dianggap ‘sesuai’ untuk orang yang dipanggil.Bahasa mudah,senang orang kenal.

Betul juga.

Yalah,kalau dilihat sekali lalu sahaja tiada apa yang salahnya,asalkan orang faham dan kenal.Kadang-kadang panggilan sebegini boleh mencuit hati tetapi cuba kita lebih teliti,kita nilai bahkan kita fikir secara serius,bukan sekali malah berulang-kali..

Bayangkan bagaimana saya memanggil nama ‘glamor’ anda dan membahasakan diri saya dengan istilah ‘wa’,’gua’ dan sebagainya tatkala baru pertama kali kita bersua muka?Mungkin rasa janggal bukan?

Bahasa Seindah Jiwa.

Bahasa bukan sekadar menyampaikan maksud tetapi juga membayangkan jiwa.Setuju?

Ayat mudah,bahasa yang lembut dari jiwa yang lembut,bahasa yang kasar dari jiwa yang kasar.Saya tidak mengupas isu ini berpaksikan remaja yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul.Mungkin ada kekurangan dari segi istilah yang ‘memaksa’ beliau menggunakan bahasa ‘rock’, ‘sempoi’ dan sebagainya.

Disini saya ingin bertanya,kepada remaja Melayu lebih-lebih lagi remaja Islam,

Kita mampu menggunakan bahasa yang lebih sopan,molek dan lebih sedap bunyinya tetapi kenapa kita sering gunakan istilah yang kasar dan berbunyi aneh di halwa telinga kita?Kenapa kita tinggalkan bahasa yang baik dan memilih bahasa yang kurang baik?

Bercakap di istana dengan raja dan sultan,kita gunakan bahasa diraja.Kita berpatik-patik dan bertuanku.Di rumah,kita gunakan bahasa manja dan sopan dengan ibu dan ayah.Adakah mungkin kita berbahasa sebegini di surau dan masjid?:

“Morning ustaz! Lama gua tak jumpa lu.Ada baik ke ini hari?”

Rasanya boleh pening ahli jemaah kariah masjid.Apa yang saya maksudkan,kalau kita selalu ditempat baik,dengan kawan yang baik,maka bahasa yang selalu kita gunakan pun baik.Insya-Allah.

Ayat ‘Skema’ Merosakkan Kemesraan.

Mungkin betul.

Bahasa yang terlalu formal kadangkala menjadikan pergaulan kita menjadi kaku.Jangan terlalu formal atau istilah anak remaja sebagai ‘skema’.Dalam hal ini kita contohi Rasulullah S.A.W.

Baginda yang paling mesra,pandai bergaul, dan paling berkasih sayang dengan sahabat-sahabat.Diriwayatkan Baginda memanggil sahabat-sahabat dengan panggilan yang disukai oleh mereka.

Saya jarang dengar bahasa kasar melambangkan kemesraan.Anda pernah dengar?

Sepanjang pengalaman saya,panggilan itu walaupun mesra namun tetap lembut dan berakhlak bunyinya.Bahasa yang digunakan Rasulullah S.A.W tetap sesuai dengan budaya dan adat masyarakat pada masa itu

Jadi apa salahnya kalau sikap Rasulullah S.A.W ini kita contohi?

BAHASA ‘Wa’ Kasar Tapi Niat ‘Gua’ Baik

Saya bagi peluang kepada anda menilai.

Pendapat saya,hati yang baik akan mendorong lidah berkata yang baik.Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya;

“Tidak lurus iman seseorang itu hingga lurus lidahnya.”

Maksudnya,iman yang mantap mampu melahirkan tutur kata yang baik.Baik pada maksudnya,baik pada bahasanya dan baik pada caranya.

Saya cuba mengupas isu ni dari platform dakwah.Pendakwah yang baik akan mengajak manusia kepada Allah dengar tutur kata dan bahasa yag lembut dan berhikmah.Dia lebih diterima berbanding pendakwah yang bahasanya kasar,mengecam dan mengutuk orang.Niat memang baik mengajak orang kepada Islam tetapi pendakwah sebegini gagal menarik orang malah menjauhkan orang daripada agama.

Saya beri analogi.

Apa pandangan kita kalau kita diberi pizza tetapi pizza itu dicampak dengan kasar? Tentu kita marah walaupun yang dicampak itu pizza!

Biarlah..Asalkan Dia Suka!

Saya dipersoalkan.

“Dia suka nama tu yang kau nak kecoh kenapa?”

Saya berfikir untuk mencari alternatif jawapan yang menusuk kalbu tetapi dalam masa yang sama tidak mengaibkan yang bertanya.

Baiklah.Persoalannya bukanlah sama ada dia suka atau tidak tetapi panggilan yang buruk hendaklah dihentikan.

Saya bersetuju andai dia tidak berkecil hati jika orang lain memanggil panggilan yang buruk tetapi bagaimana kalau ibu bapanya turut mendengar?Tidakkah mereka berkecil hati apabila anaknya dipanggil ‘monyet’,’labi’,’kanggaru’,’koya’ dan gelaran lain yang tidak sedap didengar?

Bagaimana kawan-kawan lain mendengar?

Pasti mereka akan memandang rendah kepada orang yang dipanggil sedemikian.Mungkin kita juga akan merasa tempiasnya kerana kita juga dianggap tidak beradab.

Mari muhasabah sebentar, lakukan anjakan paradigma.

Kenali mereka dengan keperibadian mulia

Panggillah mereka dengan panggilan yang positif walaupun ada diantara mereka yang boleh menerima panggilan negatif!

Bahasa Jiwa Bangsa
~HASSRIQ HAFIZE BIN ABDUL HALIM HAFIZ~


4 comments:

pelukis kata said...

"Gua" pada hemat tuan bahasa kasar atau bahasa pasar?ini membuatkan saya gusar..hehe

ANAK MUDA said...

Lebih elok kalau guna 'saya'..

Nor Aizat Rahimi said...

jambu pun kategori kasar jugak ke? tak ke lembut bunyinya..

jjambuu~~~..uuu....

pelukis kata said...

ya, saya..=)

jambu batu manis ape..hihi..just kidding^^

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio