Search This Blog

Saturday, November 14, 2009

Dimanakah Al-Quran Dalam Kehidupan Kita?Minta Tolong Jawab..

Assalamualaikum W.B.R...

Masih segar dalam ingatan..Sewaktu kecil dulu, orang tua-tua selalu cakap : kalau tak khatam al-quran 30 juzuk, nanti tak boleh berkhatan.

Rasanya, itulah petua orang-orang dahulu yang diguna pakai untuk mentarbiyah anak-anak supaya membaca al-quran dan mengkhatamnya. Apa lagi, sebab takut tak dikhatankan, masing-masing berlumba-lumba untuk menghabiskannya.

Walaupun seolah terpaksa, namun kadang-kadang perlu juga dibuat begitu. Itupun masih ada yang malas. Iya! Budaya membaca al-quran. Nampak remeh, namun ramai yang mengabaikannya.


KITA TERLEKA ATAU MELEKAKAN??

Berbalik kepada fokus yang hendak saya sampaikan tadi iaitu membaca al-quran dan kebetulan pula semalam, saya sempat menghadiri satu sesi tazkirah dan memang kebetulan juga tajuk tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz itu berkisarkan kehidupan manusia dengan al-quran.

Kupasan tajuk yang ringan namun menginsafkan. "Bersama-sama dengan al-quran", antara ungkapan yang diucapkan olehnya (pentazkirah). Bila direnung kembali, sejauh manakah kebersamaan hidup kita ini dengan al-quran..?

Skop membaca ini masih kecil jika dibandingkan dengan mengamalkannya. Secara logiknya, kalau membaca pun kita tidak dapat buat, apatah lagi untuk mengamalkannya?


ANTARA KEWAJIPAN ATAU PICISAN SEMATA-MATA...

Saya sering memuhasabah, dan apa yang saya dapat lihat ialah hari ini dalam tidak sedar kita sering silap dalam meletakkan prioriti sesuatu perkara. Kalau ditanya, boleh atau tidak kita membaca majalah, sudah tentu jawapannya boleh. Bagaimana pula dengan membaca al-quran? apatah lagi!

Tetapi, kita lebih berminat untuk membaca majalah. Hari ini, kita seharusnya renung kembali, bahawa salah satu punca kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di muka bumi adalah disebabkan tiadanya jiwa atau roh islam itu sendiri.

Jiwa kita kosong bahkan ianya diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Contohnya, membaca majalah-majalah hiburan, menghabiskan masa ke program-program maksiat seperti konsert-kensert artis yang terang-terang telah melanggar batas-batas syara’, realiti yang tidak dapat disangkal lagi.

Perkara ini jelas menginsafkan saya. Apa tidaknya, kalau kita sanggup berkorban masa untuk perkara-perkara yang sia-sia atau lebih teruk lagi kepada perkara-perkara maksiat yang sudah tentu mendapat kemurkaan Allah s.w.t mengapa tidak kita berkorban saja masa kita untuk membaca al-quran. Ianya adalah satu sumber untuk kita mendapatkan kekuatan dari aspek kerohanian. Iya! kekuatan rohani.

Mungkin kemampuan kita tak dapat menandingi orang-orang terdahulu seperti imam As-Syafei yang mampu mengkhatamkan al-quran sebanyak dua kali sehari. Lebih mengkagumkan ialah beliau menghabiskannya di dalam solat pada bulan puasa. Subhanallah!


RASANYA AL-QURAN NI "BERAT" AGAKNYA...SAPA SETUJU??

Hari ini kita nak baca satu ayat pun kadang-kadang susah bahkan tidak terdetik langsung dalam hati ini ada niat untuk membacanya, Nauzubillah min zalik. Kalau kita menunaikan tanggungjawab kefardhuan solat lima waktu masih lagi bernasib baik, tapi bagaimana kalau solat fardhu pun kita tidak tunaikannya. Satu ayat bahkan satu huruf pun kita tidak menyebutnya.

Inilah salah satu amalan atau cara hidup muslim yang sebenar disamping menunaikan tanggungjawab yang lain. Mungkinlah jika hendak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang lain, tak dapat untuk dibandingkan sekiranya kita mengharapkan habuan material semata-mata.

Maka, di sinilah tahap keimanan dan kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah diuji. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Bila disebut soal ganjaran atau kelebihan maka orang yang selayaknya untuk menerima ganjaran itu sudah tentu orang yang berbuat kebaikan.


ADAKAH RASULULLAH S.A.W MENIPU KITA??

Dan kelebihan orang yang bersama-sama dengan al-quran telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda menyeru kepada kita semua supaya membaca al-quran kerana dengannya ia akan memberikan syafaat kepada kita di hari akhirat nanti.

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberitahu bahwa sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-quran akan diganjari dengan satu kebaikan dan setiap kebaikan itu diganda dengan sepuluh kebaikan. Begitulah kasihnya Allah swt terhadap hambanya.

Namun, oleh sebab hati kita sudah diikat dengan habuan dunia, maka kita lupa bahkan seolah tidak mempercayai janji-janji Allah itu, hasilnya, hidup kita jauh dengan Al-quran.


ADAKAH IA HANYA DI DALAM PEMIKIRAN KITA SAHAJA??

Astaghfirullah!!! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi maha penyayang.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita umat Islam lari daripada menunaikan tanggungjawab kita terhadap al-quran, kalau membaca itu sudah kita anggap berat apatah lagi untuk mengamalkannya. Alasan tidak pandai membaca bagi saya sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kalau nak seribu daya, kalau taknak beribu alasannya.

Inilah masalah yang sering kita hadapi bahkan ianya sudah menjadi satu penyakit yang sinonim dikalangan umat Islam. Mahu tapi ego, atau mahu tapi malu? Kalau marah orang memanggil kita bodoh, tapi mengapa kita tidak marah bodohnya diri kita kerana tidak mahu menjadi pandai?

Fikirkanlah wahai umat yang mengaku beriman kepada Al-Quran...

p/s-saya berpesan kepada diri sendiri sebelum berpesan kepada orang lain..

0 comments:

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio