Search This Blog

Wednesday, June 1, 2011

Bukan Kerja Dia Seorang



Sudah puas saya berfikir.

Manusia mana yang tidak ada langsung tanggungjawab?

Saya lihat tidak ada manusia yang hidup tanpa tanggungjawab melainkan orang tersebut telah hilang kewarasan akalnya untuk berfikir.

Kalau seseorang itu tidak memegang apa - apa jawatan sekalipun,dia tetap mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah S.W.T.


Itu Kerja Ketua Bukan Aku.



Jawatan

Apabila saya sebut perkataan ini,baru saya sedar yang manusia suka sangat mengaitkan tanggungjawab dengan jawatan.Apabila tiada jawatan,maka dia merasakan bahawa dia tidak ada tanggungjawab dan terlepas dari segala beban kerja.

Betulkah?

Bagi saya,saya akan menyatakan bahawa itu adalah satu fahaman yang silap.


Kita Semua Kena Jadi Ketua.

“Anda semua perlu jadi ketua.”

Terngiang kata - kata Cikgu Fadzil yang agak ringkas tapi bagi saya ia membutirkan makna yang cukup mendalam.Kata-kata tersebut saya dapat ketika pertama kali saya dilantik menjadi Ketua Umum Asrama di bangku sekolah dulu.





Apa yang saya faham,walaupun kita bukan pengetua,kita perlu ada rasa tanggungjawab seperti pengetua dalam menjaga urusan sekolah atau asrama.Bukan bermaksud kita mengambil alih tugas pengetua tetapi kita perlu peka,ambil berat,kasih dan sayang sebagaimana kebiasaan setiap pengetua terhadap sekolahnya.

Saya merasakan bahawa konsep tanggungjawab itu sangat penting.

Bukanlah jawatan kita yang menentukan tanggungjawab kita.Hakikatnya,kita semua berkongsi tanggungjawab yang sama.

Kita kena sedar,tujuan jawatan itu diwujudkan adalah untuk pembahagian tugas sahaja tetapi kita semua tetap sama.

Atas dasar itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggungjawab ke atas setiap amanah yang dipikul setiap manusia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.
 ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bangunkan Tanggungjawab Dalam Jiwa.


Mari kita duduk sebentar bermuhasabah diri.

Kita perlu merasakan bahawa diri kita yang akan dipertanggungjawabkan.Bukan sekadar meletakkan beban keatas orang lain tetapi segalanya perlu bermula dari diri kita sendiri.

Kita sebagai pelajar tidak akan mampu menjadi direktor universiti semasa kita sedang belajar.Apa yang perlu kita buat ialah menjaga tempat kita belajar dengan segala kemampuan yang kita ada bersama dengan tanggungjawab.

Kita sebagai rakyat biasa tidak akan mampu menjadi Perdana Menteri semasa kita menjadi rakyat biasa.Apa yang mampu kita lakukan ialah menjaga diri dan fikiran kita dari dijajah semula dengan penuh rasa tanggungjawab.

Apatahlagi untuk Islam.Amat mustahil kita menjadi Rasul.Tetapi kita mestilah mencintai,mempunyai keinginan untuk menyebarkan dakwah dan mempertahankannya sebagaimana Rasulullah S.A.W telah tunjukkan teladan kepada kita dalam kehidupan 
Baginda.

Bangkitlah!

Hidupkan rasa tanggungjawab dalam jiwa kita.

Setiap masa.Setiap tempat.Dimana jua anda berada.

Tidak kira siapa kita dan apa jua jawatan kita.

Sedarlah kita semua adalah PEMIMPIN.

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya" (Al-Baqarah 2:30).






0 comments:

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio