Search This Blog

Wednesday, July 21, 2010

Menolak Zina Bukan Dengan "Keajaiban" Tapi Dengan MUJAHADAH!

“Hassriq,aku  rasa kau fikir macam ni sebab kau sendiri tak kawin lagi. So, kau tak faham keperluan berkahwin masa belajar.So, jangan la kau memandai nak bagi pendapat pulak!” tegas Asif,sahabat saya di UniKL.

Komennya tajam.

Saya pula, bukanlah ingin berbicara tentang kahwin semasa belajar.

Apa yang saya ingin  bincangkan adalah soal kahwin tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang bernas.


Tetapi saya cuba berfikir dan meyelami maksud kata-kata sahabat saya itu... 


PENGAJARAN  KISAH NABI YUSUF A.S....

Saya teringat  kisah Nabi Yusuf a.s semasa dizaman sekolah dulu dimana baginda  berdepan godaan ibu angkatnya, Imra’ah al-’Aziz atau yang lebih dikenali namanya sebagai Zulaikha itu.
Kehebatan Yusuf bermula daripada usia kecilnya lagi.


Seorang pemuda, ‘diculik’ oleh adik beradiknya sendiri dan dihumban ke dalam perigi buta, Yusuf diuji dengan kesusahan pada tahap yang sukar untuk kita gambarkan. Berat sekali tanggungan seorang anak kecil bertahan dalam sepi dan gelita perigi buta, jauh daripada keluarga, hanya bertemankan Allah tempat memaut harapan.


Namun, sabar Yusuf ketika di dalam perigi, tidak sekental sabar Yusuf di Istana Mesir.
Setiap hari dia cuba digoda oleh wanita bangsawan itu, ibu angkatnya sendiri.
“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]


Setelah berulang kali berusaha, ‘Zulaikha’ sampai kepada ikhtiar terakhirnya.
Pintu dikunci, rumah tidak berpenghuni, First Lady itu menawarkan diri, “datanglah kepadaku. Aku bersedia untukmu”


Di sinilah kemuncak tarbiyah Allah ke atas insan bernama Yusuf. Ramai manusia lulus ujian kesusahan kerana di dalam kesusahan kita diuji dengan kekurangan pilihan. Terpaksa bersabar kerana itulah satu-satunya jalan untuk bertahan. Demikian sabar Yusuf di dalam telaga.


Tetapi di sini Yusuf diuji dengan peluang. Diuji dengan pilihan. Beliau orang asing. Tiada keluarga, tiada banyak kesan sampingan pilihan jahat yang mahu diambil kesempatan.


Saya terbaca di dada akhbar tentang modus operandi pekerja seks di IPT hari ini. Bekerja sebagai pelayan seks berkelas tinggi, memungkinkan anak muda kita mengaut untung mencecah RM40 ribu sebulan! Tekanan lifestyle, duit pinjaman MARA yang jauh daripada kecukupan, desakan peer pressure, apakah yang boleh menghalang anak-anak muda kita daripada mengambil pilihan itu?


Hanya satu.


Jawapannya IMAN.

“Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya…”
Itulah jawapan Yusuf.
Aku berlindung kepada Allah. Rabb diriku, Pencipta aku dan Pemilik aku.


Jawapan itu adalah satu sanggahan kepada Zulaikha bahawa biar pun dia adalah ibu angkat yang memberi makan, hutang budi tidak akan dibalas dengan bayaran yang keji. Engkau tuanku tetapi Allah Tuhanku!


Justeru Yusuf menegaskan bahawa:
“Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”


MENCARI KAEDAH TERBAIK..


Zina itu, di sebalik kekejiannya, adalah kezaliman.
Sudikah dibenarkan orang lain menyetubuhi ibumu? Adik perempuanmu? Anak perempuanmu? Ibu saudaramu?
Ketika engkau berzina, sudah tentu engkau berzina sama ada dengan ibu seseorang, adik perempuan seseorang, anak perempuan seseorang atau ibu saudara seseorang. Jika engkau tidak sanggup membayangkan ibumu disetubuhi lelaki lain, pilihan zinamu adalah satu kezaliman. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!

Kerasnya  persoalan yang berlegar di fikiran ialah, apakah bentuk pendidikan yang diperlukan, untuk membolehkan mahasiswa dan mahasiswi yang hidup di dunia ‘zina lebih mudah daripada nikah’ itu untuk berkata seperti Yusuf? Bagaimanakah ketika dihadap dengan pilihan zina, ketika jauh daripada keluarga, ketika kekejian kelihatannya seperti boleh disembunyikan, tawaran pulangan begitu lumayan, namun akhirnya anak muda kita mempunyai kekuatan untuk berkata, “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!”

Kekuatan untuk berkata TIDAK!

Itu sisi pandang Yusuf.

“Ahh, itu persis seorang Nabi!” mungkin itu tempelak anak muda lagak mahasiswi yang mengecam saya tadi.

“Apa yang Nabi tahu tentang panahan cinta? Dia itu jiwanya jiwa Nabi, bukan seperti engkau dan aku!” apakah itu yang mahu diperkatakannya?


Asal usul Tarzan, barangkali! [source - unknown]



YUSUF JUGA ANAK MUDA SEPERTI AKU,DIA DAN KAMU....
“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia itu daripada kalangan hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa.” [Yusuf 12: 24]

Allah segera menafikan andaian itu.


Yusuf juga seorang anak muda.


Dia ada keinginan sebagai seorang anak muda. Jika pertimbangannya hanya sekadar kehendak jiwa muda, 


Yusuf juga boleh cenderung memilih kehendak Imra’ah al-’Aziz. Kehendak ibu angkatnya, wanita bangsawan yang sudah menyerahkan diri.

Allah S.W.T mahu kita kaitkan diri dengan Yusuf.

Dia juga sepertimu wahai anak muda.

Dia bukan Malaikat yang tidak bernafsu. Baginda menolak zina bukan dengan Mukjizat tetapi baginda menolaknya dengan MUJAHADAH!!.


Fikirannya sedar tentang kenyataan Allah berkenaan kekejian zina, justeru Yusuf  berkata TIDAK.Kemudian baru Allah tegaskan, semua itu adalah sebahagian daripada urusan Allah melindunginya, bakal seorang Rasul untuk menerima Risalah Tauhid kebenaran. Bukan semua datang dalam keajaiban. Yusuf itu sendiri bermujahadah mengawal diri di ujian pemilihan.

Memilih jalan zina atau memilih jalan TAQWA.




Saya juga masih muda, wahai si anak gadis.
Di usia muda, saya juga terganggu dengan kecantikanmu.

Jiwa saya pernah resah ketika melihat rakan bernikah.
Naluri saya pernah cemburu semasa menimang si comel, cahaya mata kawan bertuah.



Saya menghormati, mengasihi, mengagumi dan menyokong sepenuh hati teman yang memilih untuk bernikah.
Namun nikah mereka bukan lempias nafsu. Nikah kenalan-kenalan saya bukan manifestasi lemah jiwa untuk menolak zina. Mereka bernikah dengan wawasan. Mereka berkeluarga dengan perancangan.




“Aku Terima Nikahnya” belum lagi masanya untukmu,Hassriq.

1 comments:

Anonymous said...

bapak gempak....

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio