Search This Blog

Tuesday, January 1, 2013

2013: Selagi Nafas Masih Ada



Kita menguak tahun baru. Tahun 2012 sudah berlalu pergi.

Tahun 2013 hadir membawa kisah baru. Kisah yang kita sendiri tak pasti.

Kita seakan berbisik kepada diri, ”kita mesti memandang ke hadapan”. 
Ya, kita perlu ke depan.

Namun ia bukan bermakna kita sudah ‘cuci tangan’ terhadap apa yang telah kita lakukan.

Alhamdulillah. Allah panjangkan umur kita tapi perlu ingat kita masih tak terlepas dari noda dan dosa.

Hakikatnya,kita sebenarnya cerminan kepada orang lain. Namun, adakah kita pernah pandang diri sendiri?

Mungkin kita sendiri yang alpa. Kita menyambut tahun baru dengan riang dan tawa. Seolah-olah bila dipanjangkan usia, kita semakin dekat syurga.

Hakikatnya, syurga belum pasti malah mati semakin menghampiri

Selagi nafas masih ada, kita harus perlu persiapkan diri!


2012: Mungkin Kita Sibuk Sehingga Alpa.





Mari duduk sejenak

Renung kembali apa yang telah kita lalui sepanjang tahun 2012.

Mungkin kita sibuk dengan pelajaran dan program sehingga terlupa sejenak, ada ketikanya kita perlu luangkan masa untuk bersama keluarga dan rakan.

Mungkin ita kalut dengan kerjaya, adakalanya kita terlupa bukan wang ringgit yang mampu mengisi hati-hati yang dahagakan cinta dan kasih sayang kita.

Mungkin kita sibuk dengan urusan peduli ummah, hingga kita lupa ada insan di belakang kita yang lebih memerlukan perhatian kita.

Dan bila saat alam berputar dari tahun ke tahun mengikut perintah Allah, baru kita tergesa-gesa pulang melangsaikan tanggungjawab untuk saat-saat yang tersisa.

“Sebab makin bertambah tahun, semakin dekat kita dengan kematian”
Ayat ini memang kita biasa dengar. Sebab itu Allah selalu ingatkan tentang mati.

Bukan bermakna bila sudah nazak baru ingin kembali mencari redhaNya,

Bukan saat itu, kita baru ingin membina kasih-sayang, baru ingin melunaskan segala rindu dendam.

Hakikatnya mengingati mati membuatkan kita lebih berwaspada dengan perintah dan laranganNya, saling berkasih-sayang selagi nafas masih ada dan melangsaikan segala amanah dan tanggungjawab.

Supaya nanti apabila kita kembali pulang kepada-Nya, kita tidak memperoleh kekecewaan di akhirat sana.


2013: Selagi Nafas Masih Ada

Tahun 2013 mengingatkan kita,

Supaya kita yang masih hidup ini untuk terus memperbanyakkan amal soleh.

Supaya  kita yang masih hidup ini terus kekal dalam berkasih-sayang kerana kemanisan sebuah ukhuwah itu bermula dengan kerendahan hati dan saling memaafkan.

Moga Allah letakkan kita semua dalam redhaNya dan bersama-sama mereka yang mengerjakan amal soleh.

Selagi nafas masih ada, ayuh gencangkan amal soleh kita.

Mari sebarkan kasih-sayang seluasnya,

Ayuh saling bermaafan sesama kita,

Semoga di penghujung kisah kita nanti, redha Allah berjaya kita raih! 

Amin (^^,)

0 comments:

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio