Search This Blog

Sunday, February 20, 2011

Awek Atau Rasulullah S.A.W?:Saya Lebih Mencintai Baginda!


Assalamualaikum wbt,

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT yang masih lagi memberikan kesempatan untuk kita meneruskan kehidupan di atas dunia yang diciptakan khas untuk umat manusia ini.

Di atas kasih sayang Nya juga Dia mengutuskan para Rasul di sepanjang sejarah kewujudan manusia sehinggalah kepada ummat akhir zaman ini untuk menunjukkan jalan menuju keredhaan-Nya. Alhamdulillah.

Bulan Februari adalah bulan cinta. Di dalam bulan ini, terdapat satu tarikh di dalamnya yang dikhususkan oleh kebanyakan manusia sebagai Hari Memperingati Kekasih. Di sebalik pelbagai versi asal usul sambutan ini, secara umumnya ia disambut oleh pasangan-pasangan yang bercinta untuk menghargai kekasih masing-masing.




Istimewanya pada tahun 2011 ini, bulan Februari turut menjadi saksi kepada satu lagi sambutan yang bersejarah iaitu kelahiran Muhammad bin Abdullah, kekasih Allah dan sepatutnya juga menjadi kekasih kepada setiap daripada kita yang menjadi umatnya. Tidakkah kita rindu kepada Baginda SAW?

Diriwayatkan bahawa pernah sekali Rasulullah meminta kepada Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan kepadanya Al-Quran. Lalu Ibn Mas’ud membacakan surah An-Nisa’ hingga sampai kepada ayat yang ke-41 yang bermaksud;

“Maka bagaimanakah(halnya orang kafir nanti), apabila Kami mendatangkan seseorang saksi(rasul) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu).”

Maka Rasulullah memberhentikannya dan kedua mata Baginda berlinangan dengan air mata kerana kesedihan. Rasulullah tidak dapat memikirkan bagaimanakah nanti apabila Baginda menjadi saksi kepada kita kelak, Baginda tidak dapat membantu kita daripada terjerumus ke dalam api neraka Allah SWT. Lihatlah betapa kasihnya Rasulullah kepada kita, ummatnya. Sedangkan Baginda tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas perkara tersebut.

Justeru, saya ingin bertanya kepada para belia di luar sana, dalam memburu cinta sesama manusia, masihkah tersisa kasih dan sayang kalian kepada Baginda Rasulullah SAW? 

Bahkan sepatutnya cinta kepada Rasulullah mendahului cinta kepada yang lain selepas Allah SWT. Maka ambillah peluang bersempena kemeriahan sambutan Maulidur Rasul di segenap pelosok negara untuk mendalami dan memahami pengorbanan Rasulullah sebagai tanda cinta kita kepada Baginda.


Tidak cukup dengan mencintai Rasulullah SAW, sepatutnya kita meyakini dan berusaha meneruskan perjuangan dan visi Rasulullah SAW dalam memastikan seluruh isi dunia ini tunduk kepada Allah SWT. 

Sepertimana teguhnya keyakinan Sultan Al-Fateh dalam merealisasikan impian Baginda membuka Kota Kostantinopel. InshaAllah.!

0 comments:

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio