Search This Blog

Sunday, May 29, 2011

Aku Menulis Bukan Kerana Nama.


Setelah sekian lama menulis di ruangan blog ini,saya kembali duduk bermuhasabah diri..

Apa pemangkin yang menyebabkan saya terlalu mencintai bidang ini?

Populariti?Saya bukanlah selebriti malah langsung tak dikenali ramai.

Hobi?Mungkin tapi saya lebih menghabiskan masa lapang dengan beriadah.

Duit?Tiada sesen pun hasil penulisan saya malah tidak pernah diterbitkan sekalipun.

Saya tiada apa untuk ditonjolkan tapi dengan sedikit usaha ini,saya berharap mampu berperanan kepada kehidupan masyarakat.





Hanya Sedikit Usaha Ini.


Saya ditebak dengan persoalan yang menari di minda.

Apakah yang dimaksudkan dengan berperanan dalam masyarakat?

Bekerja,berniaga,berdakwah,khidmat sosial bukankah juga dianggap sebagai berperanan?


Betul.Selagi mana kita mempunyai kedudukan di alam ini dan menjadi angka yang mempunyai nilai, bukan setakat sifar yang terletak pada sebelah kiri angka,kita juga turut berperanan. lni bermakna kita mesti turut serta dan berperanan di dalam usaha memakmurkan bumi dan membangunkan kehidupan umat.


Mungkin cara kita berperanan yang membezakan.

Ada yang mampu berinteraksi dengan masyarakat global seperti isu Palestin seumpamanya,

Ada yang menyumbangkan tenaga kerja dalam usaha menyedarkan masyarakat.

Ada yang mempersembahkan sebuah karya dan jasa yang sesuai dengan kemampuan dan berharap tidak  membebankan umat.

Jadilah apapun asalkan anda berperanan kepada masyarakat.Janganlah kita menjadi lebah yang mati dan dicampakkan ke luar sarang, kerana ia sudah tidak berharga dan tidak boleh lagi menghasilkan madu. Saya juga tidak mahu menjadi seperti pokok yang kering akan dicabut dan dicampakkan ke luar kebun, kerana ia sudah tidak dapat memberi manfaat.


  

Adakah Kita Mahu Menjadi Insan Yang Kosong?




Saya terfikir apakah balasan yang sepadan bagi orang yang mendengar dan melihat tetapi dia tidak bekerja, tidak berkarya dan tidak mempunyai peranan langsung dalam usaha membangunkan kehidupan umat.

Seorang pelajar yang tidak pergi ke sekolah dengan alasan yang tidak dibenarkan, maka hukuman yang layak baginya tidak lain adalah rotan yang dipukulkan dengan keras kepadanya agar dia mahu berdiri dan berlari secepatnya ke sekolah.

Seorang pekerja yang malas dan kerap tidur pada saat bekerja, maka hukuman baginya tidak lain adalah teguran yang keras dan tidak dibayar upah agar dia serik dan sedar terhadap kemalasannya tersebut.

Seorang alim yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mahu memberikan manfaat kepada orang lain, maka dia patut dihapuskan dari kamus orang-orang yang memiliki nama harum dan dikenang oleh ramai orang. Ini kerana dia tidak mahu berkorban dan tidak mahu memberikan contoh yang baik kepada orang lain.



Segalanya Milik Allah Bukan Sesiapa.





Saya seringkali mengingatkan diri.

Kalau kita menginginkan kebaikan untuk diri sendiri dan umat, janganlah kita menjadi orang yang tidak memiliki nilai langsung sehingga kita dilupakan seolah-olah kita barang yang tidak berharga.

Makhluk yang paling rendah dan hina di alam ini adalah manusia yang hidup sehariannya hanya makan, minum dan tidur. Sumber manfaat dalam dirinya sudah tidak mengeluarkan air lagi kerana lembah kebaikannya telah kering

Dia umpama berada di alam kematian, perbezaannya bahawa dia masih makan dan minum. Dia pun telah berada di alam kubur, perbezaannya dia masih tertawa dan tidur. Orang-orang seperti ini mempunyai peranan yang besar dalam kenaikan harga keperluan utama, kerana banyaknya makanan yang dia santap.

Dia juga memiliki peranan yang besar dalam mengakibatkan terjadinya kekeringan, kerana banyaknya air yang dia minum. Tetapi langsung tidak menghasilkan produktiviti.



Mata Pena Setajam Pedang





Orang lain sentiasa membina, berkarya dan berjalan ke hadapan,tetapi adakah kita mahu mundur ke belakang kerana melawan arus perkembangan dan pembangunan, melawan usaha dalam memberikan manfaat dan mempersembahkan karya, serta musuh kejayaan dan prestasi.

Kafilah kehidupan tidak akan mahu untuk menunggu orang-orang yang malas dan lambat, kerana kafilah ini hanya diperuntukkan bagi orang-orang yang aktif berkarya dan bekerja. Seluruh tempat yang ada telah diterokai dan waktu tidak akan menunggu sesiapa pun.

Saya mahu mengajak.Bukan memaksa.

Mari kita bangkit dan berkarya agar kita mampu menjadi golongan yang mencipta sejarah bukan sekadar berada di dalam lipatan sejarah sebagai orang yang gagal.

Sudah tiba masa untuk berperanan dalam masyarakat!

1 comments:

Am said...

insyaAllah.. kalau kita blaja sejarah dulu semangat patriotik pon boleh dipupuk daripada penulisan.. haha keep it up

 

© 2011 Maka Lihatlah! Copyright Reserved
Designed by | alwanPelangi.com | alwanPelangi Studio